Sedar tak sedar rupa-rupanya dah hampir setahun saya tidak mengemaskini blog saya ini. Bukan kerana tiada bahan untuk diceritakan cuma kekangan masa yang menghambat saya. Untuk pengetahuan semua, saya telah membuat keputusan untuk menyambung pelajaran saya yang terhenti setakan STPM sahaja.
Saya telah memohon untuk mengikuti pengajian jarak jauh di UiTM, Shah Alam bagi kursus Ijazah Sarjana Muda Sains Pentadbiran dengan kepujian. Alhamdulilah permohonan saya telah diterima dan bermulalah episod hidup saya sebagai seorang pelajar pusat pengajian tinggi.
Memang bukan mudah. Selain perlu menanggung yuran pengajian sendiri, saya perlu memerah otak untuk menyiapkan tugasan. Ditambah pula tempoh P&P yang hanya berlangsung selama 2 jam setiap subjek bagi 5 seminar bagi satu-satu semester.
Jadual seharian saya berubah secara total. Awal pagi dimulai dengan menyiapkan sarapan untuk anak-anak, membantu anak bersiap dan seterusnya menghantar mereka ke sekolah. Mujur anak sulung banyak membantu menjemput adik-adik balik dari sekolah agama dan menyediakan juadah tengahari(lauk-pauk dibeli di kedai makan berhampiran).Sebelah petang pula, letih berulang-alik menjemput mereka pulang dari sekolah. Sehingga pukul 6.45 petang baru selesai. Namun tugas saya tidak berhenti di situ, juadah malam disediakan sambil membasuh pakaian. Selesai makan malam dan menunaikan solat, kerja sekolah anak-anak diteliti satu persatu sebelum mereka tidur. Nah, inilah masa yang saya tunggu. Saya mengulangkaji pelajaran saya pula setelah semua anak tidur sehingga ke pukul 12.00 tengah malam.
Walaupun begitu saya berjaya memperolehi keputusan yang membanggakan dalam peperiksaan akhir. Syukur alhamdulilah saya panjatkan. Semoga anak-anak saya lebih berjaya dari saya. Amin. Semester kedua pula berjalan lancar walaupun ada juga subjek yang sukar terutama Business Mathematic. Sekarang waktu cuti semester. Bolehlah berehat panjang sambil memulakan semula aktiviti yang tertangguh. Sulaman manikdan labuci giat saya jalankan terutama menjelang hari raya ini.
No comments:
Post a Comment